Percuma! Langgan Blog Ini Melalui Emel

Mohon masukkan emel tuan:


Dikuasakan oleh FeedBurner

Mengapa Nasihat Tidak Berkesan


Sebagai seorang ketua, Nabi Muhammad memberi nasihat kepada anak-anak buahnya. Ini bermakna tugas memberi nasihat adalah tugas hakiki keketuaan.

Rekod-rekod sejarah menunjukkan nasihat-nasihat Nabi Muhammad diterima dengan baik dan ditaati oleh anak-anak buahnya.

Nabi Muhammad memberikan nasihatnya hanya apabila diminta.

Nasihat seperti yang diberikan oleh Nabi Muhammad itu disebut 'nasihat involuntari' atau 'nasihat atas permintaan'. Nasihat yang diberikan tanpa diminta disebut 'nasihat voluntari' atau 'nasihat sukarela'.

Faktor-faktor yang boleh menyebabkan nasihat voluntari tidak berkesan adalah:

1. Kelayakan: Orang yang berasa dirinya lebih baik, lebih betul, lebih tahu, ataupun lebih pandai sahaja yang yakin dia layak menasihati orang lain. Apabila orang yang dinasihati berasa keadaan adalah sebaliknya, dia akan menolak nasihat itu.

2. Tuduhan: Di sebalik kata-kata nasihat adalah tuduhan halus bahawa si penasihat menuduh orang yang dinasihati itu bukan orang yang baik-baik.

3. Konten: Kata-kata nasihat mengandungi penilaian negatif dan kritikan terhadap orang yang dinasihati.

4. Permintaan: Nasihat itu diberikan tanpa diminta.

5. Pencerobohan ruang peribadi: Memberi nasihat yang tidak diminta adalah tingkah laku memasuki tanpa izin ruang psikologi orang lain.

6. Self-esteem: Nasihat yang tidak diminta, sama ada yang diberikan secara privasi mahupun secara terbuka, adalah menjatuhkan self-esteem orang yang dinasihati.

7. Hukum budaya: Dalam banyak budaya, nasihat yang sopan diberikan dari-atas-ke-bawah. Sebagai contoh, orang tua boleh menasihati orang muda, tetapi tidak sebaliknya.

-----------

Nota: Tuan dapat menerima semua posting dalam blog ini secara percuma dengan memasukkan emel tuan dalam jendela yang disediakan.
 

Worldview Dalam Kaunseling Islam: Tingkah Laku Manusia adalah Ditentukan oleh Bagaimana Dia Melihat Masa Hadapannya


Dalam prosedur kaunseling Barat, kaunselor dikehendaki supaya menyiasat sejarah masa lampau kliennya dengan tujuan mahu membantu si klien memahami situasi dirinya sekarang. Ini kerana kaunselor perlu memahami faktor-faktor yang menyebabkan kliennya berfikiran dan bertingkah laku sebagaimana yang ada sekarang.

Dalam worldview kaunseling Barat tingkah laku dan fikiran manusia ditentukan oleh bagaimana dia berdialog, baik secara sedar ataupun secara separa-sedar, dengan peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku ke atas dirinya pada masa silam.

Dalam prosedur kaunseling Islam, kaunselor tidak perlu menyiasat latar belakang masalah kliennya. Ini kerana kaunselor Islam tidak mementingkan apa yang sudah berlaku dalam sejarah hidup kliennya. Sebaliknya, kaunselor Islam mementingkan apa yang akan berlaku ke atas diri kliennya pada masa hadapan.

Dalam worldview kaunseling Islam, tingkah laku dan fikiran manusia ditentukan oleh bagaimana dia berdialog dalam keadaan sedar dengan masa hadapannya. Di sini, termasuk dalam masa hadapan klien adalah dunia selepas kematiannya nanti.

Jadi, manusia melakukan apa yang dilakukannya sekarang disebabkan oleh dialog-dialog yang dilakukannya dengan masa hadapannya. Maka, peranan kaunselor Islam adalah 'membetulkan' dialog-dialog kliennya sekarang.

Pertentangan worldview inilah yang menjadi dasar perbezaan prosedur dalam kaunseling Barat dan kaunseling Islam. Manakala kaunselor Barat menyuruh kliennya menoleh ke belakang, memahami sejarah silamnya, kaunselor Islam menyuruh kliennya memandang ke hadapan, memikirkan ke mana dia mahu tuju dalam hidupnya yang akan datang.

-------

Nota: Tuan boleh menerima melalui emel semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan dalam jendela yang disediakan.
  

Falasi pada Worldview Ilmu Psikologi dan Prosedur Kaunseling Mazhab Barat


Prosedur kaunseling mazhab Barat sangat memfokuskan pada memori dan kenang-kenangan klien terhadap sejarah silam dirinya. Ini yang menjadi asas mengapa kaunselor mazhab Barat dikehendaki mengorek-ngorek peristiwa-peristiwa yang pernah dialami oleh kliennya.

Di sebalik prosedur Barat itu adalah worldview ilmu psikologi Barat yang percaya bahawa seseorang itu berada dalam situasinya sekarang, yang menjadikan dia sebagaimana keadaannya sekarang, adalah akibat peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku ke atas dirinya pada masa lalu.

Ringkasnya, psikologi Barat berpegang pada keyakinan bahawa sikap, tingkah laku dan emosi seseorang itu adalah hasil yang dicipta oleh sejarah lampaunya. Jika baik sejarah lampau si klien, maka baiklah sikap, tingkah laku dan emosi si klien. Jika buruk sejarah lampau si klien, maka buruklah sikap, tingkah laku dan emosi si klien.

Sejarah lampau si klien adalah sesuatu yang tidak dapat diubah lagi. Apa yang berlaku, sudah berlaku.

Meskipun punca masalah klien itu dapat dikesan dengan cara menelusuri sejarah lampaunya, namun jawapan kepada masalah si klien itu tidak dapat ditarik dari sejarah lampaunya yang sudah berjaya ditelusuri oleh kaunselor itu.

Punca-punca masalah sentiasa ada di belakang, manakala penyelesaian sentiasa ada di hadapan.

Menelusuri sejarah lampau klien adalah suatu hal yang berguna bagi tujuan memahami apa yang pernah berlaku dan perkaitannya dengan masalah klien sekarang. Itu sahaja.

Sejarah lampau klien tidak dapat menghasilkan jalan keluar untuk si klien kerana penyelesaian adalah sesuatu yang belum berlaku, yang berada dalam masa hadapan si klien.


Kaunselor Islami Tidak Perlu Cuba Memahami Apa yang Dirasai Kliennya


Dalam kaunseling Barat, kaunselor sangat ditekankan supaya belajar skill memahami apa yang dialami dan dirasai oleh kliennya.  Ini disebut 'empati'.

Dalam erti kata yang lain, kaunselor mazhab kaunseling Barat perlu membayangkan bagaimana rasanya jikalau dia sendiri sedang berada dalam keadaan kliennya.

Dalam kaunseling Islam, empati jenis ini tidak diperlukan. Kaunselor masih dapat menjalankan tugasnya dengan efektif meskipun dia tidak memahami perasaan kliennya.

Berdasarkan hadith-hadith kaunseling yang dikaji, tidak ada data yang menunjukkan Nabi Muhammad pernah cuba meletakkan diri beliau 'dalam kasut' klien-klien beliau.

Malah tidak ada hadith yang menunjukkan Nabi Muhammad bertanya apa perasaan kliennya.

Dalam kaunseling Barat, supaya kaunselor dapat bereempati dengan si klien, maka kaunselor perlu bertanya banyak soalan-soalan yang menggalakkan kliennya mencurahkan perasaan dan mendedahkan maklumat-maklumat yang sangat personal.

Maklumat-maklumat itu kemudian dicatat dalam buku rekod kliennya. Inilah faktor yang menyebabkan proses kaunseling Barat sangat panjang berjela-jela dan klien terpaksa datang berulang-ulang kali. Meskipun begitu, tidak ada jaminan proses yang kompleks itu berjaya membantu si klien keluar dari situasinya.

-------

Nota: Tuan boleh menerima melalui emel semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan dalam jendela yang disediakan.
 


Strategi Kaunseling Islam Apabila Memberi Respon kepada Klien yang Tertekan oleh Banyak Masalah


Adalah perkara yang lazim berlaku di mana seseorang itu mengalami pelbagai tekanan serentak. Sebagai contoh, seorang anak sulung yang ditinggal mati ayahnya menghadapi:

1. Perasaan sangat sedih.
2. Harus menjaga ibu yang tidak bekerja dan adik-adik yang bersekolah.
3. Hutang rumah yang dibeli oleh ayahnya.

Dalam kaunseling Islam, apabila kaunselor melihat keadaan klien yang dalam keadaan tertekan dan murung, kaunselor dikehendaki supaya mula-mula sekali dia perlu meringankan tekanan emosi yang dialami oleh klien.

Strategi bagi meringankan beban tekanan emosi klien:

1. Sebut perkara-perkara positif sahaja berkenaan punca kesedihannya.

Sebagai contoh, dalam kes anak yang kematian ayah, kaunselor dikehendaki memuji-muji sifat paling terpuji arwah ayahnya. Itu sahaja.

2. Tidak bertanyakan perkara-perkara lain.

Sebagai contoh, kaunselor tidak bertanyakan maklumat berkenaan kaum keluarganya dan hutang-piutang arwah ayahnya.

-------

Nota: Tuan boleh menerima melalui emel semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan dalam jendela yang disediakan.

Bagaimana Prosedur Kaunseling Barat Mengorek Sejarah Lampau Klien


Dalam prosedur kaunseling Islam, kaunselor tidak mengorek-ngorek sejarah lampau klien. Ciri ini adalah pertentangan yang paling asas antara prosedur kaunseling Islam dan prosedur kaunseling Barat.

Prosedur kaunseling Barat secara formal memperuntukan sesi khas interviu dengan klien bagi melakukan kerja korek mengorek itu di mana disediakan fail rekod khas bagi menyimpan informasi yang berjaya dikorek.

Objektif sesi interviu itu adalah supaya kaunselor:

1. Mengetahui sejarah asal-usul masalah klien.

2. Mengetahui rentetan peristiwa yang menyebabkan klien menghadapi masalahnya sekarang.

3. Mengetahui sejarah sosial klien.

4. Mengetahui mengapa baru sekarang klien datang bagi mendapatkan kaunseling.

5. Memahami bagaimana selama ini klien menjalani dan mengendalikan urusan kehidupan hariannya.

6. Dapat memahami situasi klien dan dapat menilai baik-buruk dan betul-salah dalam gaya hidup kliennya sekarang.

Dalam kaunseling Barat, kaunselor memerlukan maklumat itu semua supaya dia dapat membantu kliennya memahami situasi dirinya sendiri, dan dengan itu si klien dapat memikirkan dan mencari sendiri jalan keluar daripada masalahnya.

-------

Nota: Tuan boleh menerima melalui emel semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan dalam jendela yang disediakan.

Kaunseling Barat Menggunakan Logik Kausal Manakala Kaunseling Islam Menggunakan Logik Outcome


Perkataan 'kausal' adalah kata pinjaman 'causal' dari kata akar 'cause'. Logik kausal adalah logik sebab-akibat. Dalam logik kausal, dipercayai segala sesuatu itu berlaku sebagai akibat yang disebabkan oleh sesuatu yang berlaku mendahuluinya.

Bidang kaunseling Barat adalah aplikasi teori-teori psikologi Barat. Teori-teori psikologi Barat adalah berpaksi pada logik kausal. Inilah faktor yang menyebabkan prosedur kaunseling Barat mementingkan proses mencari dan mengenalpasti 'causes', yakni punca-punca yang menyebabkan klien berada dalam situasinya sekarang.

Dalam prosedur kaunseling Barat, langkah pertama adalah menyiasat latar belakang klien dan merekodkan semua kejadian-kejadian yang pernah dialami oleh klien. Dipercayai prosedur ini membolehkan kaunselor dan kliennya mengenalpasti 'causes' yang betul, yang menghasilkan situasi si klien.

Penggunaan logik kausal menyebabkan anak panah kaunseling Barat dihalakan ke masa lampau klien, kepada sejarah, kepada perkara-perkara yang sudah berlaku. Kaunseling Barat menggunakan 'logik sebab' kerana ia mementingkan usaha mengenalpasti punca-punca kepada masalah klien.

Kaunseling Islam tidak menggunakan logik kausal. Logik yang digunakan dalam kaunseling Islam adalah 'logik outcome', ataupun disebut juga 'logik supaya'. Ini kerana anak panah kaunseling dihalakan ke masa hadapan.

-------

Nota: Tuan boleh menerima melalui emel semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan dalam jendela yang disediakan.

Prosedur dan Teknik Kaunseling Islam adalah Terpisah daripada Akidah Islam


Pada asal-usulnya, prosedur dan teknik-teknik kaunseling Islam adalah adalah digali daripada sumber-sumber Sunnah Nabi Muhammad. Baik prosedur mahupun teknik-teknik itu, kedua-duanya adalah bersifat universal.

Ciri universal pada prosedur dan teknik kaunseling Islam itu membolehkan ia dibezakan dan dipisahkan daripada akidah Islam

Disebabkan prosedur dan teknik-teknik kaunseling Islam adalah terpisah daripada sistem kepercayaan, maka kaunseling Islam dapat digunakan oleh sesiapa sahaja, bagi mengkaunsel sesiapa sahaja, apakah kaunselor dan klien itu beragama Islam, Kristian, Yahudi, Hindu, Bhudha ataupun pagan.

Prosedur dan teknik-teknik kaunseling Islam dapat diajarkan, dipelajari dan diamalkan dengan mudahnya oleh kaunselor-kaunselor yang bukan Islam.

Ambil sebagai contoh, prosedur kaunseling Islam yang tidak memerlukan kaunselor mengorek-ngorek sejarah silam kaunselee. Prosedur ini tidak ada kaitannya dengan agama kaunselor mahupun kaunselee.

Dengan menggunakan prosedur dan teknik-teknik kaunseling yang digunakan oleh Nabi Muhammad, kauselor Hindu pun dapat memberikan kaunseling kepada klien yang beragama Islam.

Dan begitu juga kaunselor yang beragama Islam pun dapat menggunakan prosedur dan teknik kaunseling Islam bagi mengkaunsel klien yang beragama Hindu, ataupuan apa-apa sahaja fahaman kliennya.

-------

Nota: Tuan boleh menerima melalui emel semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan dalam jendela yang disediakan.



Dalam Kaunseling Islam, Tugas Mengkaunsel Anak Buah adalah Tugas Ketuanya Sendiri


Dalam budaya pengurusan organisasi modern hari ini, yang mengamalkan tradisi pengurusan ciptaan pakar-pakar Barat, tugas memberi kaunseling kepada staf tidak dijadikan tugas hakiki ketua-ketua. Ertinya, jika mahu ketua boleh menjalankan kerja kaunseling, jika tidak mahu tidak apa-apa.

Dalam amalan pengurusan modern, tugas memberi kaunseling diserahkan kepada pegawai kaunseling yang khusus, yang mempunyai latihan dalam bidang kaunseling. Dasar yang sama dijalankan di sekolah-sekolah.

Faktor yang menyebabkan wujudnya jawatan kaunselor adalah disebabkan kerja-kerja kaunseling yang menggunakan teori dan teknik Barat memakan masa yang sangat panjang dan berulang-ulang. Ia adalah proses kerja yang kompleks. Ketua-ketua tidak mempunyai masa dan kepakaran bagi menjalankan tugas-tugas kaunseling.

Namun dasar pengurusan modern yang seperti itu nampaknya tidak menyelesaikan banyak isu-isu kaunseling di tempat kerja. Disekolah pun hal yang demikian juga.

Dalam kaunseling Islam, tugas memberi kaunseling kepada staf adalah sebahagian daripada tugas hakiki ketua-ketua. Dalam teori pengurusan Islam tidak diperlukan wujudnya jawatan pegawai kaunseling.

Prosedur dan teknik kaunseling Islam adalah mudah dan cepat. Tanpa menjalankan prosedur mengorek-ngorek sejarah lampau kaunselee, proses kaunseling Ialam dapat dijalankan dalam tempoh 10 minit sahaja. Ini membolehkan ketua-ketua menjalankan sendiri tugas kaunseling ke atas anak buahnya.


Kaunseling Islam Tidak Menggalakkan Kaunselee Mencurahkan Perasaannya di Hadapan Kaunselor


Dalam prosedur kaunseling ciptaan pakar-pakar Barat, kaunselor menggalakkan kaunseleenya bercakap dan menyatakan emosinya, malah menggalakkan supaya emnosi itu dipamerkan, khususnya emosi-emosi negatif seperti marah, kecewa, sedih, benci, dendam dan lain-lain.

Objektifnya adalah supaya kaunselor dapat membantu si kaunselee memahami mengapa dia merasakan emosi-emosi itu, dengan demikian diyakini si kaunselee akan dapat mengambil langkah yang betul bagi mengendalikan, mengawal, dan mengurus  emosi-emosi negatifnya itu.

Kaunseling mazhab Barat berpegang pada hipotesis bahawa sikap memendam perasaan adalah tidak baik dan menimbulkan kesan-kesan negatif kepada si kaunselee.

Amalan kaunselor menggalakkan kaunselee mencurahkan perasaannya menjadi faktor yang menyebabkan sesi kaunseling Barat memakan masa yang sangat panjang dan berulang-ulang.

Meskipun kaunselee digalakkan mencurahkan perasaannya namun amalan itu tidak menjamin akhirnya kaunselee dapat mengendalikan, mengawal, dan mengurus emosi-emosi negatifnya itu.

Dalam prosedur kaunseling Islam, kaunselor tidak menggalakkan si kaunselee mencurahkan perasaannya. Ada 3 risiko pada sesi mencurahkan perasaan:

1. Kaunselee melakukan dosa mendedahkan aibnya sendiri.

2. Kaunselee melakukan dosa  mendedahkan aib kaum keluarganya dan orang-orang lain.

3. Kaunselor melakukan dosa mendengar kaunseleenya mendedahkan aib.

--------

Nota: Tuan boleh menerima melalui emel semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan dalam jendela yang disediakan.



Prosedur Kaunseling Barat Tidak Mengizinkan Kaunselor Berfikir Bagi Pihak Kaunselee


Dalam prosedur kaunseling ciptaan pakar-pakar Barat, kaunselor mesti seratus peratus memisahkan dirinya daripada urusan kaunselee.

Fungsi kaunselor Barat adalah membantu si kaunselee memahami situasi dirinya, yakni memahami apa yang menyebabkan dia berada dalam situasinya itu, dan apa yang menyebabkan dia merasai apa yang dirasainya.

Bagi benar-benar memisahkan dirinya dari urusan kaunselee, kaunselor Barat tidak boleh melakukan perkara-perkara di bawah. Sekiranya dilakukan, ia menyalahi prosedur kaunseling:

1. Tidak boleh memberi nasihat tentang apa yang baik untuk kaunselee.

2. Tidak boleh mengusulkan kepada kaunselee jalan keluar dari situasinya.

3. Tidak boleh mencadangkan keputusan yang patut diambil oleh kaunselee.

4. Tidak boleh melakukan sebarang tindakan bagi pihak kaunselee.

Dalam prosedur kaunseling Islam, semua empat perkara di atas menjadi fungsi dan tugas kaunselor.


Amalan Empati dalam Proses Kaunseling Barat Berbeza dengan Amalan Empati dalam Kaunseling Islam


Salah satu skill yang wajib dimiliki oleh kaunselor yang profesional adalah skill berempati. Prosedur kaunseling ciptaan pakar-pakar Barat sangat mementingkan skill berempati. Individu yang tidak memiliki skill empati tidak layak menjadi kaunselor.

Seseorang kaunselor itu dikatakan mahir berempati apabila:

1. Dia dapat memahami dengan betul situasi dan masalah-masalah si kauselee.

2. Dia dapat memahami mengapa si kaunselee merasai apa yang dirasainya.

3. Dia dapat memahami motif-motif di sebalik tingkah laku si kaunselee, yakni faktor-faktor yang menyebabkan si kaunselee melakukan apa yang dilakukannya.

Bagi melakukan 3 perkara di atas, maka itulah sebabnya dalam prosedur kaunseling Barat, kaunselor dikehendaki mendengar dengan tekun sepanjang-panjang masa si kaunselee menceritakan latar belakang masalahnya dan meluahkan perasaannya.  

Sebagaimana dalam kaunseling Baratt, dalam kaunseling Islam, skill berempati juga diberikan keutamaan. Tetapi persamaan ini tamat di sini.

Dalam kaunseling Islam, empati tidak digunakan oleh kaunselor bagi mendengari si kaunselee menceritakan masalahnya dan meluahkan perasaannya. Inilah asasnya mengapa dalam amalan kaunseling Islam kaunselor tidak boleh bertanya kepada si kaunselee:

"Kenapa....?"
"Mengapakah....?"
"Apa sebab....?"
"Apa pasal...?"
"Apa perasaan kamu....?"


Sesi Kaunseling oleh Nabi Muhammad Amat Singkat


Nabi Muhammad banyak menjalankan kerja-kerja kaunseling.

Prosedur dan teknik kaunseling yang digunakan oleh Nabi Muhammad mempunyai banyak perbezaan, malah pertentangan, dengan prosedur dan teknik kaunseling ciptaan pakar-pakar kaunseling Barat.

Salah satu perbezaan itu adalah, prosedur kaunseling Barat mengorek-ngorek sejarah rentetan peristiwa yang pernah berlaku ke atas kaunselee. Ini tidak dilakukan dalam prosedur kaunseling Nabi Muhammad.

Salah hasil penggunaan prosedur dan teknik kaunseling Nabi Muhammad adalah singkatnya tempoh masa yang diperlukan bagi menjalankan sesi kaunseling.

Dalam rekod-rekod hadith kaunseling yang dikaji, Nabi Muhammad tidak pernah memberikan kaunseling lebih daripada satu kali sesi kepada orang yang sama! Dan masa kaunseling itu juga sangat singkat.

Meskipun sesi kaunseling Nabi Muhammad amat singkat (sekitar beberapa minit sahaja), tidak ada rekod yang menunjukkan kaunselee Nabi Muhammad datang semula dengan membawa masalah yang sama. Ini bermakna dengan sesi yang begitu singkat, Nabi Muhammad dapat membantu kaunseleenya menyelesaikan masalahnya.

Ini berbeza dengan tempoh masa kaunseling yang menggunakan prosedur dan teknik Barat, yang memakan masa lama, serta sesi dilakukan berulang-ulang kali. Dan belum tentu kaunseleenya dapat menyelesaikan masalahnya.


Anak Panah Prosedur Kaunseling Barat Dihalakan ke Masa Lampau Kaunselee


Salah satu ciri penting yang membezakan prosedur kaunseling Barat daripada prosedur kaunseling Islam adalah arah anak panahnya.

Manakala anak panah kaunseling Islam dihalakan ke masa hadapan, anak panah kaunseling Barat dihalakan ke masa lalu, ke dalam sejarah, kepada peristiwa-peristiwa yang telah terjadi pada masa lampau.

Teori kaunseling Barat percaya segala sesuatu yang berlaku hari ini mempunyai sebab-sebabnya pada masa lalu. Oleh itu hanya dengan memahami apa yang berlaku pada masa lalu barulah seseorang itu dapat pula memahami situasinya sekarang.

Dalam sesi kaunseling yang menggunakan prosedur Barat, kaunselor mendorong kaunseleenya supaya mengenang kejadian-kejadian yang pernah berlaku ke atas dirinya, dan orang-orang yang terlibat dalam kejadian-kejadian itu, yang menghasilkan situasinya sekarang.

Prosedur kaunseling Barat itu adalah sedemikian kerana teori-teori psikologi Barat yang dijadikan asas amalan-amalan kaunseling sangat mementingkan hubungan sebab-akibat pada memahami tingkah laku manusia.

Dalam aplikasinya di bidang kaunseling, pakar-pakar Barat percaya seseorang itu hanya dapat mencari jalan keluar dari situasinya sekarang dengan erlebih dahulu dia memahami semua faktor yang menjadi punca dan sebab-sebab dia berada dalam situasinya sekarang.

Inilah ciri yang paling berbeza dengan prosedur kaunseling Islam. Dalam amalan kaunseling Islam peristiwa-peristiwa pada masa lampau kaunselee tidak dikaitkan dengan proses mencari jalan keluar dari situasi yang dihadapinya sekarang.

.

Perbezaan Paling Pokok Antara Prosedur Kaunseling Islam dan Kaunseling Barat


Prosedur kaunseling Islam sangat bertentangan dengan prosedur kaunseling Barat.

Perbezaan yang paling fundamental adalah, dalam kaunseling Islam, sebagai kaunselor Nabi Muhammad tidak menyiasat faktor-faktor yang menyebabkan kaunselee mengalami apa yang dialami.

Ini sangat bertentangan dengan amalan kauseling ciptaan Barat, di mana langkah pertama adalah kaunselor dikehendaki menyiasat dan menggali faktor-faktor yang menyebabkan kaunselee mengalami situasinya.

Jadi, dalam prosedur kaunseling Barat, kaunselor dilatih teknik-teknik bagaimana dia perlu menyiasat dengan cara mendorong kaunselee menceritakan sedetail-detailnya sejarah dan latar belakang masalahnya.

Dalam kaunseling Islam, kaunselor tidak perlu menyiasat sejarah dan latar belakang masalah kaunselee.

.

Kaunselor Islam Tidak Menyiasat Motif di Sebalik Tingkah Laku Kaunselee


Setiap perbuatan manusia mempunyai motif di sebaliknya. Sebagai contoh, apabila seseorang perempuan menyapu warna merah pada bibirnya, ada pelbagai kemungkinan motifnya:

a. Dia mahu dilihat lebih cantik.

b. Dia mahu menarik perhatian seseorang.

c. Dia mahu memenuhi peraturan di tempat kerjanya, dan mungkin motif-motif lain.

Dalam prosedur kaunseling Barat, kaunselor dikehendaki supaya menyiasat dan memahami apa yang menjadi motif kaunseleenya melakukan apa yang dilakukannya.

Sebagai contoh, jika kaunseleenya mahu berkahwin dengan lelaki yang sudah mempunyai isteri maka kaunselor akan bertanya apa yang menyebabkan dia mahu melakukan perkara itu.

Dalam prosedur kaunseling Islam, kaunselor tidak perlu menyiasat dan tidak perlu memahami motif kaunseleenya. Justeru kaunselor Islam tidak akan bertanya apa-apa soalan bagi mengetahui motif kaunseleenya mahu mengahwini suami orang.

.

Kaunselor Islam Tidak Bertanya "Kenapa...?"


Dalam prosedur kaunseling Barat, tugas utama kaunselor adalah membantu si kaunselee memahami situasi dan masalah yang dia sedang alami. Maksudnya, bantuan yang diberikan kaunselor adalah supaya si kaunselee faham situasinya.

Prosedur kaunseling Barat itu adalah berdasarkan hipotesis:

1. Bahawa manusia hanya dapat menyelesaikan masalahnya sendiri. Jadi, kaunselor Bara tidak bertugas menyelesaikan masalah kaunselee.

2. Bahawa individu lain takkan tahu apa yang terbaik bagi individu lain. Jadi, kaunselor Barat tidak akan memberitahu apa yang sebaiknya dilakukan oleh kaunselee.

3. Bahawa individu lain takkan dapat memahami dengan betul apa masalah individu lain. Jadi, kaunselee mesti memahami masalahnya sendiri.

4. Bahawa si kaunselee hanya dapat menyelesaikan masalahnya apabila dia sudah betul-betul faham apa masalahnya yang sebenar.

Maka, dalam kaunseling Barat tugas asas kaunselor adalah membantu si kaunselee memahami apa masalahnya yang sebenar. Cara kaunselor membantu adalah dengan banyak bertanya soalan "Mengapakah....?"

Inilah prosedur yang tidak dilakukan dalam kaunseling  Islam. Kaunselor Islam tidak bertanya "Mengapakah....?" kerana dalam kaunseling Islam si kaunselor tidak perlu memahami motif si kaunselee.

.