Mengapa Nasihat Tidak Berkesan
Sebagai seorang ketua, Nabi Muhammad memberi nasihat kepada anak-anak buahnya. Ini bermakna tugas memberi nasihat adalah tugas hakiki keketuaan.
Rekod-rekod sejarah menunjukkan nasihat-nasihat Nabi Muhammad diterima dengan baik dan ditaati oleh anak-anak buahnya.
Nabi Muhammad memberikan nasihatnya hanya apabila diminta.
Nasihat seperti yang diberikan oleh Nabi Muhammad itu disebut 'nasihat involuntari' atau 'nasihat atas permintaan'. Nasihat yang diberikan tanpa diminta disebut 'nasihat voluntari' atau 'nasihat sukarela'.
Faktor-faktor yang boleh menyebabkan nasihat voluntari tidak berkesan adalah:
1. Kelayakan: Orang yang berasa dirinya lebih baik, lebih betul, lebih tahu, ataupun lebih pandai sahaja yang yakin dia layak menasihati orang lain. Apabila orang yang dinasihati berasa keadaan adalah sebaliknya, dia akan menolak nasihat itu.
2. Tuduhan: Di sebalik kata-kata nasihat adalah tuduhan halus bahawa si penasihat menuduh orang yang dinasihati itu bukan orang yang baik-baik.
3. Konten: Kata-kata nasihat mengandungi penilaian negatif dan kritikan terhadap orang yang dinasihati.
4. Permintaan: Nasihat itu diberikan tanpa diminta.
5. Pencerobohan ruang peribadi: Memberi nasihat yang tidak diminta adalah tingkah laku memasuki tanpa izin ruang psikologi orang lain.
6. Self-esteem: Nasihat yang tidak diminta, sama ada yang diberikan secara privasi mahupun secara terbuka, adalah menjatuhkan self-esteem orang yang dinasihati.
7. Hukum budaya: Dalam banyak budaya, nasihat yang sopan diberikan dari-atas-ke-bawah. Sebagai contoh, orang tua boleh menasihati orang muda, tetapi tidak sebaliknya.
-----------
Nota: Tuan dapat menerima semua posting dalam blog ini secara percuma dengan memasukkan emel tuan dalam jendela yang disediakan.
Worldview Dalam Kaunseling Islam: Tingkah Laku Manusia adalah Ditentukan oleh Bagaimana Dia Melihat Masa Hadapannya
Dalam prosedur kaunseling Barat, kaunselor dikehendaki supaya menyiasat sejarah masa lampau kliennya dengan tujuan mahu membantu si klien memahami situasi dirinya sekarang. Ini kerana kaunselor perlu memahami faktor-faktor yang menyebabkan kliennya berfikiran dan bertingkah laku sebagaimana yang ada sekarang.
Dalam worldview kaunseling Barat tingkah laku dan fikiran manusia ditentukan oleh bagaimana dia berdialog, baik secara sedar ataupun secara separa-sedar, dengan peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku ke atas dirinya pada masa silam.
Dalam prosedur kaunseling Islam, kaunselor tidak perlu menyiasat latar belakang masalah kliennya. Ini kerana kaunselor Islam tidak mementingkan apa yang sudah berlaku dalam sejarah hidup kliennya. Sebaliknya, kaunselor Islam mementingkan apa yang akan berlaku ke atas diri kliennya pada masa hadapan.
Dalam worldview kaunseling Islam, tingkah laku dan fikiran manusia ditentukan oleh bagaimana dia berdialog dalam keadaan sedar dengan masa hadapannya. Di sini, termasuk dalam masa hadapan klien adalah dunia selepas kematiannya nanti.
Jadi, manusia melakukan apa yang dilakukannya sekarang disebabkan oleh dialog-dialog yang dilakukannya dengan masa hadapannya. Maka, peranan kaunselor Islam adalah 'membetulkan' dialog-dialog kliennya sekarang.
Pertentangan worldview inilah yang menjadi dasar perbezaan prosedur dalam kaunseling Barat dan kaunseling Islam. Manakala kaunselor Barat menyuruh kliennya menoleh ke belakang, memahami sejarah silamnya, kaunselor Islam menyuruh kliennya memandang ke hadapan, memikirkan ke mana dia mahu tuju dalam hidupnya yang akan datang.
-------
Nota: Tuan boleh menerima melalui emel semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan dalam jendela yang disediakan.
Subscribe to:
Posts (Atom)